Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Strategi perkuat barisan pembangkang

OLEH HASMI HASHIM

Takdir Tuhan jualah yang menjadikan parti-parti pembangkang hari ini berada dalam keadaan paling kuat untuk berdepan dengan Umno-BN. Tak siapa selama ini terbayang, setelah 18 tahun, akhirnya Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Anwar Ibrahim.

Babak jabat tangan itu juga satu petanda buruk kepada Umno-BN, iaitu parti yang dahulunya kedua tokoh berkenaan hidup dan perkasakan. Tinggal Abdullah Badawi sahaja mantan perdana menteri yang masih berada di dalam Umno, selain Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia sewaktu beliau masih sebagai PM. Kini Mahathir mengikuti jejak Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn dan pendiri Umno, Onn Jaafar yang meninggalkan Umno.

Sekiranya diamati sejarah, dalam pilihan raya umum pertama pada 1955, Umno kerahkan seluruh kekuatan untuk membunuh karier politik Onn. Beliau bertanding di Parlimen Batu Pahat. Selain persiapan rapi dengan jumlah jentera yang ramai, beratus-ratus biji kereta juga dikerah mengangkut pengundi pada hari mengundi bagi memastikan Onn kalah teruk.

ANWAR TUNDaripada gerak kerja, wang dan kerahan yang dilakukan, Umno waktu itu bukan sahaja mahu mengalahkan Onn, tetapi tak kurang hendak memalukan tokoh itu di kubunya sendiri. Diketahui Onn yang juga anak jati Johor adalah mantan pegawai daerah Batu Pahat.

Beliau banyak jasa di sana, terutama apabila mendamaikan amukan kumpulan Melayu “Selimpang Merah”. Bagi orang Batu Pahat, Umno juga dikatakan ditubuhkan di sana meski secara rasmi foto bergambar di tangga istana besar Johor Bahru. Besarnya jasa Onn kepada orang Batu Pahat dan Johor sehingga ramai yang menyebut namanya beserta gelaran “Dato’”.

Menyebutkan nama Onn tanpa pangkat “Dato’” agak janggal di telinga. Dari sudut lain, kejayaan Umno mencabut akar politik Onn di Batu Pahat adalah gambaran psikologi Umno itu sendiri yang dari dahulu gerun dengan bayang-bayang mantan pemimpin mereka yang meninggalkan parti.

Nasib politik Onn tidak begitu baik apabila beliau terpaksa berdepan dengan komplot membunuh karier politik oleh kawan-kawan sendiri yang pada mulanya menyokong beliau menubuhkan Umno. Dalam kata mudah, Onn dikeroyok keseorangan.

Bayangkan andai ketika itu ada bersama Onn politikus seperti Dr Mahathir, Anwar, Muhyiddin Yassin dan mungkin juga tokoh-tokoh pemimpin lebih muda seperti Azmin Ali, Shafie Afdal mahupun Mukhriz Mahathir, saya tak fikir Umno boleh menumpaskan Onn. Tak kiralah sama ada di Batu Pahat mahupun di Kuala Terengganu Selatan dalam PRU 1959. Menjentik hujung songkok Onn pun Umno takkan termampu.

Barisan pembangkang terkuat

Hari ini, nama yang tidak ada dalam senarai perjuangan bersama blok pembangkang hanya Onn itu sendiri. Sayangnya beliau hidup di era yang lain. Selain Onn, nama seperti Dr Mahathir iaitu mantan presiden Umno, Anwar dan Muhyiddin yang keduanya pernah menjadi timbalan presiden, Shafie yang merupakan mantan naib presiden, bahkan Mukhriz mahupun Azmin yang keduanya berpengalaman di dalam pentadbiran negeri di Selangor dan Kedah memperlihatkan blok baharu pembangkang jauh lebih kuat.

Bahkan, buat masa kini, inilah barisan pembangkang terkuat pernah wujud sepanjang sejarah 59 tahun Malaysia merdeka. Undi popular kepada BN yang hanya sekitar 48 peratus dalam PRU lalu tak boleh dibohongi.

menandatangani-deklarasi-bersama-tun-mahathir-mb-muhyiddin-mukhriz-asri-9-1Kehadiran sebegini ramai tokoh di blok pembangkang sudah tentu menggerunkan Umno. Ia jauh lebih menggerunkan berbanding usaha Umno untuk mematahkan tengkuk Onn di Batu Pahat, 61 tahun lalu; atau ketika parti itu berdepan dengan serpihan Parti Melayu Semangat 46 (S46) di hujung dekad 1980-an sekalipun.

Saya rumuskan begini kerana tokoh-tokoh Umno yang kini bersama pembangkang adalah di kalangan mereka yang tak pernah kecundang dalam pertarungan dalaman Umno. Dr Mahathir berjaya menumpaskan Tengku Razaliegh dan Musa Hitam dalam drama “Tim A” dan “Tim B” dahulu.

Begitu juga PM Najib Razak hanyalah ‘anak buah’ kepada Dr Mahathir dan Anwar ketika keduanya menjadi PM dan TPM. Bahkan semua “Tim Wawasan” daripada Anwar, Muhyiddin dan Mohd Muhammad Taib juga kini sudah bersama pembangkang.

Barisan tokoh utama yang ramai ini tidak boleh dilepaskan pembangkang sebagai kesempatan untuk meyakinkan rakyat yang mereka siap ke Putrajaya. Hari ini, perlawanan politik bukan lagi urusan peribadi atau batang tubuh Anwar. Ia telah benar-benar menjadi perlawanan antara pakatan rakyat lawan Umno-BN.

Rekod kejayaan menawan lima negeri dan menafikan majoriti dua-pertiga BN pada PRU 2008 perlu dijadikan asas termasuk di kalangan mereka yang baru sahaja menyeberang ke sebelah pembangkang, termasuklah Dr Mahathir. Tidak ada rahsia kejayaan lebih besar selain daripada kemampuan satu-lawan- satu di kesemua kerusi sama ada parlimen mahupun DUN.

Maknanya, faktor tokoh berpengalaman sahaja tidak memadai. Semua pemimpin pembangkang harus selalu waspada bahawa Umno-BN dalam pelbagai cara tetap berusaha untuk memecah-belahkan mereka dan tidak mahu sampai wujudnya pertandingan satu-lawan-satu.

Sifir politik

Usaha menghuru-hara dan memecah-belahkan Pakatan Rakyat dapat terhidu sudah lama. Mungkin sejurus PRU 2008 lagi. Terkesan sejak menjadi PM, Najib Razak khususnya segera bergerak ke arah tersebut. Beliau tahu, kerja untuk memperkuatkan Umno akan hanya berjaya sekiranya dalam waktu sama Pakatan Rakyat dapat dipecah-belah.

Atas kesedaran ini, maka Umno pun menyusup masuk dan cuba mengambil hati segelintir pemimpin pembangkang selain memasang dadu di kalangan individu tertentu di dalam pembangkang supaya menyerang sesama sendiri.

najibwsjBukan sahaja soal sogokan, “cash is king” atau “dedak”, gerak kerja tersebut juga cuba menangkap kembali sentimen perkauman dan agama. Strategi ala Mei 1969 boleh sahaja digunakan dalam suasana yang baharu. Ini termasuklah mengumpan pimpinan tertinggi PAS yang diberi laluan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) 335 pertama kali di Parlimen.

Di dalam sifir politik, sudah tentu helah Najib ini adalah bijak. Dia dan Umno perlu mengalah sedikit dengan PAS. Apa yang lebih penting adalah kesan tidak langsung dari sikap tolak ansur Najib itu membuatkan PAS tidak lagi sepenuhnya menerima pandangan rakan-rakan seperti DAP dan PKR.

Kesan kedua yang tidak disedari adalah pergolakan dalaman PAS yang akhirnya mewujudkan sebuah parti baharu, iaitu AMANAH. Walaupun PAS dilihat mempunyai talian hayat dengan Sri Perdana untuk melaksanakan apa sahaja cita-cita dan matlamat perjuangannya, namun dalam skala besar parti itu semakin sukar berkembang dan seakan ditelan semangatnya oleh Umno.

Namun seperti di awal tulisan ini, betapa takdir Tuhan jualah yang mengakhiri segala helah politik Najib dengan terbongkarnya skandal melibatkan dana 1MDB di Amerika Syarikat. Gerak kerja Umno dan Najib seakan tersekat di tengah jalan. Hujan di tengah hari.

Dari strategi pecah-perintah itu jugalah, di atas kertas sekurang-kurangnya diandaikan bahawa kerajaan negeri Selangor boleh jatuh kira-kira enam bulan selepas Azmin mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

Kejayaan mengekalkan pentadbiran Selangor dengan formula tiga tambah satu (3+1) iaitu dengan PKR, DAP dan AMANAH dalam Pakatan Harapan; ditambah apa yang disebut tahaluf siyasi dengan PAS, maka Selangor dapat terus bertahan kukuh.

‘Formula Selangor’

Sudah tentu kehancuran Pakatan Rakyat tidak memberi kesan besar di Pulau Pinang kerana kurangnya kerusi PAS, dan tidak juga di Kelantan yang dikuasai hampir sepenuhnya oleh PAS.

Kejayaan “formula Selangor” ini secara tidak langsung dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap pembangkang secara keseluruhannya. Lebih meyakinkan apabila di dalam krisis dan gelora politik tersebut, fokus semua pimpinan pentadbiran Selangor untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negeri kekal tidak terpencar.

Kurang dua tahun Azmin menjadi MB, banyak isu utama yang ditinggalkan MB terdahulu seperti penstrukturan air, perumahan rakyat mahupun peratusan peruntukan belanjawan yang rendah dapat dibelanjakan telah dapat dipertingkat dan diselesaikan.

EKONOMI SELANGORLebih menakjubkan, ketika perbelanjaan belanjawan mencecah 90 peratus, rezab negeri juga kini melebihi RM4 bilion!

Fakta ini menjadi Selangor sekali lagi sebagai model pentadbiran pembangkang yang boleh dipercayai. Maknanya Umno-BN tidak boleh lagi seperti puluhan tahun mendakwa hanya mereka yang tahu mentadbir. “Formula Selangor” itu adalah panduan yang boleh diguna pakai di peringkat nasional, terutama dalam tempoh kurang setahun ini sekurang-kurangnya dua parti pembangkang baharu telah didaftarkan.

Cabaran ke hadapan bagi parti baharu seperti AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah mereka tak punya masa yang cukup untuk memperkenalkan waima lambang atau logo kepada rakyat. PKR sendiri mengambil masa cukup lama untuk melalui proses branding tersebut.

Keadaan ini juga pernah dilalui Onn yang menubuhkan Parti Malaya Merdeka (IMP) kurang setahun sebelum pilihan raya umum pertama.

Persoalan logo

Persoalan logo atau lambang adalah persoalan penting dalam pilihan raya. Sebagus dan sehebat mana pun sesebuah parti baharu itu bercakap soal dasar atau isu semasa, mereka akan tetap berkemungkinan kehilangan undi ketika pengundi terkial-kial untuk mengenali logo mereka. Muka

Dr Mahathir tidak akan dicetak di kepingan kertas undi, sama seperti sejak 1999, muka Anwar tak wujud dalam kertas undi di kalangan calon PKR. Apa yang dicetak hanya logo parti hitam-putih sahaja.

bersatuSaya tegaskan ini adalah dengan pengalaman kecil bertanding sebagai calon PKR di DUN Semerah, Johor pada 2008. Walaupun selepas sembilan tahun PKR tertubuh, tapi pada tahun itu logo PKR masih belum cukup dikenali orang Johor. Apatah lagi untuk makcik-makcik di kampung.

Pada petang hari pengundian, seorang nenek berjumpa saya dan bertanya mengapa tak ada lambang “bulan” untuk dia pangkah sedangkan dia mahu mengundi saya.

DUN Semerah sebelum ini tradisinya ditandingi PAS. Hanya pada PRU12 itu, PAS memberi laluan kepada saya atas faktor boleh menang. Dalam keadaan serba sukar kerana mewakili PKR sebagai parti baharu untuk orang Johor, majoriti BN dapat dikurangkan kepada lima ribu atau separuh berbanding PRU sebelumnya.

Sekiranya PRU ke-14 diadakan tahun depan, waima dua tahun lagi pun, saya tak fikir AMANAH dan BERSATU punya cukup masa untuk memperkenalkan logo mereka kepada rakyat. Sementara PKR mengambil masa sekurang-kurangnya sedekad sebelum branding logo dapat dikenali dan diterima.

Lebih-lebih lagi kedua parti baharu itu bukanlah lahir daripada kebangkitan besar rakyat sepertimana PKR pada 1999 yang lahir daripada arus Reformasi yang membuak-buak. Apa yang terbaik kepada AMANAH dan BERSATU ialah calon mereka harus diberi kebenaran menggunakan logo mana-mana parti rakan di dalam pembangkang yang sudah lebih lama dan dikenali rakyat.

Risiko hilang undi

Berkeras untuk menggunakan logo parti sendiri walaupun branding-nya belum cukup kuat hanya meningkatkan risiko untuk hilang undi dan calon mereka kalah. Dalam waktu sama, sekali lagi kita mendengar soalan yang dilontarkan termasuk oleh agen penguasa bertanyakan siapa bakal menjadi PM sekiranya pembangkang menang? Apakah Anwar atau
Muhyiddin?

PakatanPersoalan ini bukanlah terlalu penting untuk dibicarakan di saat usaha untuk menyatukan pembangkang lebih perlu dijadikan keutamaan. Seluruh dunia tahu bahawa Anwar secara perundangannya tersekat untuk menjadi PM kerana beliau masih dipenjara, dan hal ini akan hanya boleh direalisasikan sekiranya pembangkang menang dan semua hambatan perundangan terhadap Anwar dapat dileraikan.

Pakatan pembangkang wajar sekali lagi perlu cermat belajar dari sejarah, bahawa Umno-BN akan menggunakan apa jua helah untuk memecah-belahkan musuhnya yang kini berada dalam keadaan sangat kuat dan paling berpotensi untuk menang.

Justeru, bukanlah satu keutamaan untuk pembangkang pada waktu ini gopoh-gapah memperincikan siapa nama cicit Dr Mahathir, atau di mana rumah cucu Anwar bila dia berusia 40 tahun nanti, mahupun cucu Muhyiddin sudah berpunya atau belum?

Semua itu terlalu awal untuk dibincangkan. Sekali lagi apa yang mustahak adalah semua menteri yang ada sekarang wajar dipastikan tidak lagi menjadi menteri selepas PRU akan datang. Termasuklah PM, TPM dan Umno-BN yang perlu dipastikan ditumpaskan.

Pembangkang wajar berdiri dengan yakin diri sebagai kerajaan dalam saatnya. Bukan lagi mentaliti pembangkang sebagai pembangkang selamanya.