Categories
NASIONAL

Tambang percuma LRT tidak selesai masalah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 SEPT: Keputusan Rapid Rail Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan percuma Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya-Gombak bukan jawapan kepada penyelesaian sistem pengangkutan awam negara.

Sebaliknya, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, Prasarana dan Kerajaan Persekutuan perlu mengemukakan laporan penuh punca permasalahan itu yang kini kerap berlaku.

“Laporan ini wajib dibawa ke Parlimen untuk dibahas menerusi pewujudan Jawatankuasa Parlimen berkait integrasi sistem pengangkutan awam terutama dari Kuala Lumpur dan Selangor yang amat terkesan.

“Jaringan sistem sedia ada berserta projek MRT wajib dipantau menerusi Jawatankuasa Parlimen ini yang juga menuntut kebertanggungjawaban daripada SPAD kepada badan legislatif tertinggi negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, laporan berkenaannya boleh mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi mengelakkan sebarang insiden berulang.

Nurul-Izzah“Kita wajib berusaha mengelakkan kemelut permasalahan operasi serta kenaikan kos daripada dibebankan kepada pengguna,” katanya.

Pada 7 dan 9 September lalu, perkhidmatan LRT aliran Kelana Jaya tergendala selepas bekalan elektrik terputus hingga menyebabkan pengguna terkandas di tengah-tengah laluan.

Lebih malang, pengguna terpaksa berjalan di atas landasan dalam keadaan hujan dan bahaya sebelum sampai ke stesen berikutnya.

Insiden itu sekali gus mengundang kemarahan masyarakat awam berkenaan status pengurusan dan keselamatan perkhidmatan awam negara ini.

-AA-