OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 19 SEPT: Kerajaan Negeri mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sekiranya cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya dikemukakan tidak menjamin hak demokrasi kepada pengundi.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan dikemukakan SPR menimbulkan banyak pandangan juga reaksi daripada parti politik dan kepimpinan Kerajaan Negeri sedang menelitinya.
Katanya, satu pertemuan antara kepimpinan Kerajaan Negeri dan barisan peguam akan diadakan pada petang ini bagi tujuan itu.
“Sebagai sebuah Kerajaan Negeri, kita berhak untuk membantah bukan setakat di peringkat negeri tetapi pihak berkuasa tempat dan pengundi itu sendiri iaitu mereka mempunyai hak untuk membantah daripada segi perlembagaan.
“Sekiranya ia tidak menjamin hak demokrasi untuk rakyat dalam negara ini, maka kita akan melihat kemungkinan mengambil tindakan undang-undang jika ada ruang bagi tujuan ini,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sama ada cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya memberi kesan kepada peluang Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi mengekalkan kuasa di Selangor tidak timbul kerana akhirnya yang menentukan keputusan adalah rakyat negeri itu sendiri.
“Kita harus berpegang kepada prinsip apakah peranan SPR dalam mengubah sempadan dalam sesuautu kawasan mengikut terma dan peruntukan undang-undang atau mereka sekadar menjadi budak suruhan kepada Umno-Barisan Nasional.
“Ini kita akan teliti dan saya tidak mahu memberikan ulasan tanpa mempunyai data yang lengkap,” katanya menambah perbincangan PAKATAN turut membabitkan pihak berkaitan antaranya parti politik, badan bukan kerajaan serta BERSIH 2.0.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri tidak perlu dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang awal kerana mandat diberikan rakyat cukup besar untuk tempoh lima tahun.
“Kita tidak boleh mengkhianati mandat diberikan rakyat pada pilihan raya lalu,” katanya.
-NFN-