Categories
SUKANKINI

TM Piala Malaysia: Red Giants cari bekalan selesa ke Kuala Terengganu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 SEPT: Selangor berwaspada dengan saingan bakal diberikan Terengganu T-Team dalam aksi separuh akhir TM Piala Malaysia yang dijaudalkan berlangsung pada 1 Oktober ini.

Pengendali The Red Giants, K Gunalan berkata, T-Team merupakan salah pasukan yang baik namun pasukannya sedia memberikan tumpuan terlebih dahulu kepada perlawanan Liga Super bertemu Perak, Sabtu ini.

“Persiapan kita macam biasa kerana ada perlawanan liga Sabtu ini. Kita membuat persiapan untuk liga dan pertemuan dengan T-Team, 1 Oktober ini.

“Kita kena berhati-hati kerana prestasi mereka semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, Selangor perlu memanfaatkan aksi pertama di Stadium Shah Alam bagi membawa bekalan selesa ke Kuala Terengganu untuk perlawanan timbal balik kedua pada 15 Oktober.

aksi-tm“Kita perlu menajamkan bahagian serangan untuk membawa bekalan selesa dan pemain akan bersungguh-sungguh bagi mencipta kejayaan,” katanya.

Mengikut rekod pertemuan musim ini, Selangor berjaya menewaskan T-Team di Stadium Shah Alam dengan keputusan 2-1 dalam aksi pusingan pertama Liga Super pada 4 Mei lalu.

Namun, T-Team berjaya menewaskan Selangor di Kuala Terengganu dengan kemenangan 1-0 dalam pertemuan kedua pada 3 Ogos lalu.

Mengulas mengenai pemain yang masih dibelenggu kecederaan Gunalan berkata setakat ini hanya pemain import, Mauro Olivi belum sempat pulih dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan sama beliau mengharapkan penyokong Selangor dapat kembali memenuhi segenap penjuru stadium bagi memberikan sokongan padu dalam misi mempertahankan Piala Malaysia.

“Kita mahukan sokongan padu daripada penyokong, diharapkan separuh akhir pertama menentang T-Team mereka akan turun memberikan semangat kepada pemain supaya bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan,” katanya.

EZY