OLEH LIZAWATI MADFA
SABAK BERNAM, 2 SEPT: Kerajaan Negeri bersedia melunaskan tunggakan hutang Surau Raudhatul Jannah berjumlah RM47,000, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, tindakan itu boleh dilakukan ekoran kedudukan kewangan negeri yang kukuh untuk membantu rakyat memerlukan.
“Pengerusi surau berjumpa saya dan bercerita berkenaan tunggakan ini, lalu meminta bantuan untuk menyelesaikannya.
“Mengapa tidak, kerana Selangor ada rizab tinggi dan saya berharap Surau Raudhatul terus diimarahkan penduduk sekitar ini,” katanya disambutan tepukan gemuruh.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tong Sampah Beragam di Taman Pertama, di sini, hari ini.
Majlis turut menyaksikan 11 hak milik tanah diberikan kepada penduduk Desa Kasih, Kampung Tanjung Jawa, Mukim Sabak selain 31 Notis 5A kepada penduduk Desa Kasih dan Kampung Batu 23, Sungai Nibong, Mukim Pasir Panjang.
-AA-