Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Virus Zika: Ibu hamil jangan panik

OLEH NORHAYATI UMOR

KAPAR, 9 SEPT: Wanita hamil digesa mengambil langkah berjaga-jaga dengan penularan virus Zika ketika ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, tiga kes dikesan yang salah satunya membabitkan seorang wanita mengandung baru-baru ini cukup membimbangkan.

“Ibu hamil adalah golongan paling berisiko dengan penularan virus Zika di negara ini.

“Malah, kes Zika dikesan dalam negara cukup untuk mewujudkan kebimbangan dalam kalangan mereka terutamanya terhadap bayi dalam kandungan,” katanya kepada SelangorKini.

YB DaroyahDr Daroyah mahu semua ibu hamil mengurangkan aktiviti diluar rumah dan memakai pakaian sesuai bagi mengelakkan diri dari gigitan nyamuk.

Beliau berharap ibu hamil agar tidak panik dalam berhadapan masalah melibatkan jangkitan virus terbabit.

“Berjaga-jaga dan berhati-hati, tetapi jangan panik.Kalau mereka stress atau panik, ia akan beri kesan kepada kandungan,” katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi kes baru jangkitan virus Zika melibatkan seorang wanita mengandung di Johor Bahru.

Ia menjadikan jumlah kes jangkitan virus Zika dalam negara setakat ini sebanyak tiga kes.

-nR-