Categories
SELANGOR

World #QuranHour, gerakan kesedaran hayati cabaran semasa – MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 11 SEPT : Penganjuran World #QuranHour mampu menghimpunkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk membudayakan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kitab suci umat Islam itu menjadi prinsip dan asas teguh kepada masyarakat mendepani cabaran semasa kini.

“Program ini dilihat sebagai gerakan menimbulkan kesedaran kepada umat Islam bahwa pengisiannya bukan hanya untuk membaca Al-Quran.

“Tetapi tumpuannya juga untuk menghayati dan melaksanakan perintah Allah seperti yang terkandung dalamnya.

“Saya kira ini permulaan baik supaya umat Islam di Selangor, negara dan rantau ini dapat menghayati (pengisian) Al-Quran untuk menjana kekuatan menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Beliau bercakap selepas hadir pada Program World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini.

img_5310Dalam perkembangan itu, program berkenaan turut disambut secara serentak melibatkan penyertaan 50 negara di seluruh dunia.

Selain itu, pelaksanannya juga diwujudkan bagi meraikan perjumpaan terbesar umat Islam di Hari Arafah 9 Zulhijah, hari ini.

World #QuranHour merupakan program cetusan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) sebagai usaha menggerakkan gelombang kesedaran umat mejadikan Al-Quran sebagai landasan kehidupan.

Seramai 3,000 peserta turut hadir menyokong usaha berkenaan, di samping penglibatan empat ‘hotspot’ utama di di Padang Arafah, lokasi luar negara, alumni UIAM luar negara dan NGO muslim antarabangsa.

EZY