Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Zuraida: Cadangan SPR tidak berasas, ayuh sertai BERSIH 5

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa membebaskan diri daripada menyebelahi jentera Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, tindak tanduk SPR seakan memperlihat badan itu bertanggungjawab memastikan kemenangan BN untuk kekal berkuasa.

Katanya, SPR sepatutnya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan bertindak saksama bagi kepentingan seluruh rakyat.

zuraida-kamarudin“Sekiranya Pengerusi SPR gagal memahami peranan ini, dia sewajarnya melepaskan jawatan dan melantik Maria Chin Abdullah sebagai pengganti beliau.

“Dengan cara ini, tidak ada lagi manipulasi sempadan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, SPR mengumumkan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah yang diwartakan, pada 18 Ogos lalu.

Pada 21 September lalu, Kerajaan Negeri menghantar surat untuk mengadakan pertemuan bersama SPR mengenai cadangan persempadanan semula, namun menerima maklum balas negatif SPR.

Zuraida yang juga Ketua Wanita KEADILAN berkata, surat balasan SPR membuktikan cadangan persempadanan itu tidak berasas untuk dilaksanakan.

“Justeru, Wanita KEADILAN menyeru semua untuk menyokong dan menyertai BERSIH 5 untuk menyelamatkan Malaysia.

“Ayuh kita sama-sama menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah ini”, katanya.

-NFN-