OLEH NORHAYATI UMOR
KLANG, 12 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) giat menyediakan 30,000 guni beg pasir bagi meninggikan benteng persisiran pantai yang rendah atau rosak sebelum ini.
Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kerja yang akan bermula esok bagi menghadapi fenomena air pasang besar.
“Kita diarahkan untuk menyediakan 30,000 beg guni pasir ini dan semua penguatkuasa MPK, Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bekerjasama,” katanya ketika ditemui di Lawatan Ke Kawasan Perindustrian, Jalan Kebun Nenas, di sini.
Pada masa yang sama, Yasid berkata sebanyak enam dewan di bawah seliaan MPK akan dijadikan tempat pemindahan.
“Kita sudah mengarahkan dewan ini untuk dipastikan bekalan elektrik dan air cukup.
“Juga kebersihan tandas dan kawasan sekitar dijaga sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata tiga unit PANTAS juga dalam keadaan bersedia untuk digerakkan ke sesuatu tempat bagi menghulurkan bantuan segera.
“Kita juga menyediakan bot untuk kegunaan itu dan pegawai MPK diarahkan bertugas 24 jam bersama Pejabat Daerah Klang,” katanya.
Enam dewan dijadikan pusat pemindahan itu ialah Dewan Kompleks Sukan Pendamaran, Dewan Serbaguna Pendamaran Jaya, Kampung Idaman, Pelabuhan Klang dan Kampung Kuantan.
Terdahulu, 414 pusat pemindahan banjir seluruh negeri dibuka secara 24 jam bagi menempatkan mangsa fenomena air pasang besar di kawasan terlibat.
EZY