SHAH ALAM 16 OKT: Seramai 312 orang daripada 75 keluarga mula berpindah di tiga pusat penempatan mangsa banjir di seluruh Selangor, setakat jam 6 petang semalam, sebagai langkah awal menghadapi fenomena air pasang besar.
Jurucakap bilik gerakan bencana Selangor berkata, tiga pusat penempatan berkenaan adalah satu di Klang, manakala dua lagi di Sabak Bernam.
“Di Klang, 179 orang daripada 40 keluarga mendaftar di pusat penempatan Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, Kapar.
“Bagi daerah Sabak Bernam pula, Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar menempatkan 111 orang daripada 31 keluarga, manakala Dewan Orang Ramai Kampung Parit Baru menempatkan 22 orang daripada 4 keluarga,” katanya dipetik Bernama.
Sebelum ini, Jawatankuasa Bencana Selangor melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku hingga Rabu ini dengan kenaikan paras air laut mampu mencecah ketinggian 5.6m hingga 5.7m.
Peningkatan paras air laut berkenaan boleh menyebabkan beberapa tempat di sekitar pesisir pantai, termasuk kawasan rendah berisiko dilanda banjir.
EZY