Categories
SUKANKINI

32 pasukan berentap rebut Piala Raja Muda Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OKT: Pentas Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor kembali menggegar untuk edisi ke-29 bakal melibatkan seramai 576 pemain daripada 32 pasukan.

Pengerusi Kejohanan, Dato’ Emran Kadir, berkata kejohanan kali ini sebanyak 20 sekolah rendah mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan 12 sekolah pula mewakili PPD Petaling Utama.

“Pemain berpotensi akan diserap ke sekolah sukan untuk mendapatkan latihan dan bimbingan sewajarnya.

237a1660-1“Hanya Selangor menganjurkan kejohanan seperti ini bagi mendapatkan pemain terbaik bagi mewakili negeri suatu hari nanti,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) sekali lagi muncul sebagai penaja utama kejohanan buat kali ke-4 berturut-turut.

Majlis perasmian dan penyampian cek tajaan bernilai RM100,000 disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah, Perangsang Selangor, Mustaffa Kamil Ayub.

Perlawanan akan berlangsung secara liga di mana kesemua pasukan terbahagi kepada lapan kumpulan terlebih dahulu menerusi proses undian.

Sebanyak dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati (16 terbaik) sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir yang dijadual berlangsung pada 22 Oktober ini.

Johan Piala Raja Muda Selangor bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM4,000, trofi dan sijil manakala naib johan RM3,000, ketiga RM2,000 dan tempat keempat RM1,000 beserta pingat dan sijil.

Sementara itu, pada perlawanan pembuka tirai Piala Sumbangsih, juara bertahan, Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20 berpesta gol apabila membelasah pasukan tuan rumah, SK Seksyen 18 dengan 5-0.

Kapten pasukan, Muhammad Fareez Iqhmal Nazarudin muncul wira dengan menyumbat dua gol pada minit ke-15 dan ke-49 perlawanan.

Sementara tiga lagi jaringan disumbang Mizan Irfan Mohd Faizal minit ke-14, Mohamad Alif Hakimi Mohd Shabuddin (m39) dan Muhammad Adib Mohamad Fairuz pada (m46) perlawanan.

EZY