OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 13 OKT: Lebih 55,000 pengundi dari DUN Bukit Lanjan dipindahkan ke P106 Petaling Jaya Utara (yang bakal menjadi P106 Damansara) hasil persempadanan semula yang dicadangkan uruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkata, lima set bantahan persempadanan difailkan kepada SPR negeri ekoran masalah itu.
“Kami membantah pengeluaran keseluruhan pengundi DUN Bukit Lanjan seramai 55,000 daripada P107 Subang (bakal menjadi P107 Sungai Buloh) ke P106 Petaling Jaya Utara, ia menjadikan P106 kerusi parlimen terbesar dalam sejarah Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya akan bergantung dan merujuk kepada laporan pakar relevan serta dokumen berkenaan yang akan dikemukakan pada tarikh pendengaran bantahan awal.
Antara bantahan yang difailkan ialah tidak sekata, mendorong ‘gerrymandering’ dan tidak menggalakkan proses pengundian bebas juga adil serta membawa kepada perpecahan perpaduan rakyat selain bercanggah dengan dasar kemasyarakatan negeri.
“Selain itu, bantahan ini juga kerana dikhuatiri mengancam dan bercanggah dengan ketenteraman sosial, ekonomik serta kemasyarakatan negeri.
“Ia juga bertentangan dengan matlamat dan objektif pembangunan fizikal, sosial negeri serta bersifat ‘male fide’,” katanya.
Asas bantahan itu juga tertumpu pada kewujudan polisi pelbagai budaya yang tidak kondusif dan menjejaskan keharmonian penduduk negeri, sekali gus perpecahan perpaduan rakyat serta bersifat tidak memelihara atau memecah hubungan tempatan.
Bukit Lanjan sebelum ini menyumbang majoriti 17,200 undi kepada Parlimen Subang sehingga memberi kemenangan majoriti kepada R Sivarasa daripada KEADILAN pada Pilihan Raya Umum ke-13.
-NFN-