OLEH NAEEM RAFFI
SHAH ALAM, 19 OKT: Kesungguhan gadis belasan tahun membantu keluarganya yang susah dengan menjual nasi lemak di kaki lima Maybank Ampang, mendapat perhatian Hijrah Selangor (HIJRAH).
Pengurus Bahagian Khidmat Profesional HIJRAH, Nur Siti Hazliana Mat Hashim berkata, pihaknya menawarkan satu lot tapak di Bazaar HIJRAH Bandar Baru Ampang bagi membolehkan adik tersebut meraih pendapatan yang lebih tinggi.
“Kebetulan Bazar HIJRAH pertama di Selangor baru beroperasi tidah jauh dari kediamannya. Eksekutif Unit Khidmat Profesional (BKP), Nur Arifah Asuan Kailani, berjaya menjejaki waris adik itu dan bapanya, Ahmad Sanusi, 43 yang kini terlantar sakit membenarkan anaknya berniaga di situ setiap hujung minggu.
“Inisiatif ini ternyata berhasil apabila jualan nasi lemaknya meningkat sekali ganda. Kebiasaannya adik ini mampu menjual 60 bungkus sehari di kaki lima, tetapi di Bazar Hijrah hampir 100 bungkus mampu terjual dalam masa kurang 2 jam,” katanya kepada Selangor Kini.
Kecekalan gadis berusia 12 tahun itu mula viral di laman sosial apabila gambarnya sedang duduk dikerusi menanti nasi lemaknya terjual dimuat naik dengan sebahagian besar netizen kagum dan mendoakan keluarga itu dimurahkan rezeki.
Anak kedua daripada lima beradik itu mula berniaga di kaki lima sejak dua bulan lalu bagi membantu meringgankan beban keluarga setelah bapanya tidak lagi mampu bekerja ekoran derita jantung tersumbat.
Sementara, ibunya kini bekerja di pasaraya bagi menampung keperluan anak-anak berumur 15, 12, 11, 7 dan 3 tahun.
“HIJRAH serta ahli majlis dan Ahli Dewan Negeri (ADN) di kawasan tersebut dalam perancangan lanjut berkenaan lesen berniaga,modal modal perniagaan jika bapanya mampu menjalankan perniagaan dan juga peluang-peluang lain dapat dibantu,” katanya.
Sebelum ini, HIJRAH memperkenalkan Bazar HIJRAH dengan menawarkan tapak niaga sebagai landasan perniagaan kepada usahawan kecil dan sederhana di Selangor.
Pada 2 Oktober lalu, HIJRAH merasmikan Bazar HIJRAH pertama di Bandar Baru Ampang (BBA) membabitkan lebih 100 tapak perniagaan disediakan dengan 60 peratus daripadanya menjual barang keperluan dapur (basah).
Pengerusi Eksekutif HIJRAH, Datuk Mansor Othman berkata, Bazar Hijrah bakal diperluas ke seluruh Selangor dari semasa ke semasa dan penyertaan tidak terhad kepada peserta Hijrah sebaliknya terbuka kepada semua usahawan berminat.
-nR-