Categories
NASIONAL

Ambiga: Kerajaan Negeri punya bukti kukuh bantah syor SPR

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 OKT: Bantahan dikemukakan Kerajaan Negeri terhadap persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berasas berpandukan kepada segala bukti dimiliki, kata Datuk S Ambiga.

Bagaimanapun, mantan Presiden Majlis Peguam itu berkata, perkara terbabit tidak boleh diumumkan kerana permohonan semakan kehakiman belum dikemukakan kepada mahkamah.

“Kita punya alasan dalam permohonan ini tetapi saya tidak dapat menghuraikannya kerana kita belum memfailkannya,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam sidang media memaklumkan Kerajaan Negeri akan memfailkan semakan kehakiman bagi membantah syor persempadanan semula kawasan pilihan raya dikemukakan SPR di Mahkamah Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Kuala Lumpur, pada petang ini atau selewat-lewatnya esok.

Ambiga, salah seorang anggota dalam barisan peguam yang akan mewakili Kerajaan Negeri dalam kes itu berkata, kes di Sarawak berkaitan isu sama boleh dijadikan rujukan dalam perkara berkenaan.

“Seperti kes di Sarawak, mereka telah membuat permohonan yang mana menang di Mahkamah Tinggi tetapi gagal di Mahkamah Rayuan.

“Di sini sudah terdapat contoh maka kita perlu tunggu dan lihat,” katanya.

EZY