OLEH LIZAWATI MADFA
AMPANG JAYA, 2 OKT: Bazar Hijrah bakal diperluas ke seluruh Selangor dari semasa ke semasa, kata Pengerusi Eksekutif HIJRAH, Datuk Mansor Othman.
Beliau berkata, bazar berkenaan berfungsi sebagai landasan perniagaan terutama kepada usahawan kecil dan sederhana di Selangor.
Katanya, ia dijadual mula beroperasi jam 7 pagi hingga 2 petang pada setiap hujung minggu.
“Bazar Hijrah tidak terhad kepada peserta Hijrah semata-mata tetapi terbuka kepada semua usahawan yang berminat.
“Bilangan gerai ditawar bagaimanapun bergantung kepada keluasan tapak yang kita dapat, anggaran maksimum 200 gerai,” katanya kepada Selangor Kini.
Terdahulu, beliau melawat Bazar Hijrah Bandar Baru Ampang (BBA) yang mula beroperasi secara rasmi pada 2 Oktober 2016 (hari ini).
Mansor berkata, terdapat lebih 100 gerai di bazar Hijrah di BBA dengan 60 peratus daripadanya menjual barang keperluan dapur (basah).
“Kita dapat lihat sambutan daripada pengunjung juga baik dan diharap semakin bertambah pada masa akan datang,” katanya.
-nR-