Categories
SELANGOR

Belanjawan 2017: Peruntukkan pangsapuri dijangka bertambah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 OKT: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad membayangkan akan ada peruntukan pertambahan khusus untuk pangsapuri di Selangor dalam Belanjawan 2017.

Katanya, peruntukan itu dijangka meningkat dua kali ganda disamping beberapa projek baik pulih sedang berjalan mengikut jadual berdasarkan peruntukkan RM10 juta bagi tahun 2016.

“Ada beberapa fokus kita untuk tahun hadapan dan dijangka akan ada peruntukan tambahan khusus untuk pangsapuri sebab kita melihat masalah dihadapi hari ini sudah berlarutan sejak sekian lama, bukan sejak lapan tahun kita (Pakatan) mentadbir.

“Peruntukkan ini selain daripada Skim CERIA ia melibatkan kerja mengecat, membaiki lif, baik pulih bumbung dan jalan,” katanya.

Menurut Iskandar, masih terdapat jalan di kawasan pangsapuri yang belum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga memaksa badan pengurusan bersama (JMB) mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Secara keseluruhan Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM85 juta untuk kerja membaik pulih pangsapuri dibawah Skim CERIA sejak diperkenalkan pada 2010.

-nR-