Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Pendekatan Yamaha hasilkan keputusan positif lahir bakat muda

SHAH ALAM 19 OKT: Musim 2016 menyaksikan persaingan cukup kompetitif dikalangan pelumba muda Super Siri PETRONAS Yamaha dengan empat pelumba kini terus bersaing sengit mengejar gelaran keseluruhan.

Ia menjelang perlumbaan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, 22 dan 23 Oktober ini.

Menurut jurucakap bahagian Motorsports Yamaha, Michael Chai, 2016 menyaksikan kemampuan pelumba semakin meningkat dan tidak lagi didominasi seorang pelumba seperti Mohd Haziq Fairues yang memenangi kesemua perlumbaan pada musim 2015.

“Tahun ini kami memberi penekanan terhadap semangat berpasukan di kalangan pelumba-pelumba kategori ini.

“Selain merebut mata kejuaraan, Hong Leong Yamaha turut memperkenalkan sistem kutipan mata sendiri dengan membahagikan pelumba kepada beberapa pasukan terdiri dari pelumba laju dan berada di belakang.

shz_0821“Ini supaya mereka saling membantu dan pelumba lebih berpengalaman akan memberi tunjuk ajar kepada rakan sepasukan bagi merebut mata yang tinggi,” kata Chai.

Tambahnya ia secara tidak langsung ini turut mengubah corak pemikiran mereka.

“Selain hanya menumpukan terhadap aksi individu, mereka turut membantu meningkatkan prestasi pelumba lain untuk berlumba dengan lebih baik dan laju.

“Ini menjadikan perlumbaan musim ini lebih sengit di setiap kelompok pelumba,” katanya.

Setakat lapan pusingan lepas, Mohd Fadli Shah Redzuan kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 125 mata, namun hanya satu mata mengatasi Mohd Faiz Zekri Sabri di kedudukan kedua.

Mohd Syarifuddin Azman mengekori rapat di kedudukan ketiga dengan 121 mata manakala Mohd Alif Ashraf Tahiruddin dengan 114 mata di tangga keempat.

Chai turut menjelaskan ada diantara pelumba muda ini sudah mula menarik minat dan ditawarkan kontrak bersama pasukan profesional untuk musim 2017.

“Ini adalah perkembangan dan langkah yang baik untuk pelumba ini terus mengembangkan karier mereka dalam dunia perlumbaan.

Pencapaian sebegini memenuhi peranan perlumbaan Super Siri PETRONAS Yamaha yang menjadi landasan awal pelumba mengembangkan karier,” katanya.

EZY