SHAH ALAM, 7 OKT: Program Pusat Anak Permata Negara (Permata) yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak sepatutnya berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin turut tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai audit perbelanjaan penuh Permata, program pendidikan awal yang diilham Rosmah itu.
“Kami akan menulis surat meminta laporan audit (Permata) dan pihak Permata bersetuju untuk memberinya,” katanya selepas lawatan ke pusat Permata di Kerinchi, semalam.
Bee Yin yang ditemani Speaker Selangor, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dan Pengerusi Kelab Generasi Ilmu 1Malaysia, Syahrin Md Jamaluddin disambut pembantu Rosmah, Datul Rizal Mansor.
Kehadirannya diberikan dengan syarat Bee Yin juga akan memberi penjelasan beserta bukti untuk menunjukkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP juga telus dalam projek terowong dasar laut.
Beliau berharap laporan audit itu akan diterbitkan di laman rasmi Permata untuk rujukan orang ramai.
Katanya, Permata sepatutnya diletakkan di bawah seliaan kementerian berkait bagi memastikan penyelarasan pendidikan lebih baik.
“Memang kita ada pendirian lain dari segi prinsip tetapi kita mahu kebaikan semua kanak-kanak tanpa mengira warna kulit.
“Kita bukan datang nak buat kacau tetapi mahu pentadbiran dan ketelusan (Permata),” katanya.
-nR-