OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 6 OKT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memberi penjelasan sepenuhnya berkenaan isu sistem dalaman mereka yang dikatakan digodam, baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, orang ramai berhak mengetahui sejauh mana maklumat penting yang terkandung di dalam sistem itu dikompromi atau dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya kecewa pihak DBKL tidak membuat makluman atau kenyataan media berkenaan sistem dalaman terjejas ini, lebih-lebih lagi pelbagai maklumat peniaga dan perniagaan terkandung di dalamnya.
“Saya dimaklumkan beberapa petugas DBKL bahawa sistem itu tidak berfungsi selama seminggu akibat digodam (hacked) dan orang ramai yang datang tidak dapat melaksanakan pembayaran atau percetakan lesen juga lain-lain urusan,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Fahmi berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur perlu memberi penjelasan sepenuhnya berkenaan isu itu, pada kadar segera.
Katanya, jika benar sistem terbabit digodam, Datuk Bandar juga perlu menyatakan langkah yang akan diambil untuk memastikan pencerobohan sistem itu tidak lagi berlaku, pada masa hadapan.
“Ia termasuk menamakan atau mengganti pegawai bertanggungjawab ke atas keselamatan sistem komputer DBKL,” katanya.
-AA-