Categories
SELANGOR

Exco jangka RM5 juta diperuntuk bangun kampung baru

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OKT: RM5 juta dijangka akan disalurkan kepada kampung baru, kampung bagan dan kampung tersusun dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2017, pada Oktober ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, ia bagi menaik taraf dan membangunkan infrastruktur di kawasan terbabit.

Katanya, penumpuan itu meliputi kemudahan asas seperti jalan, longkang dan lain-lain.

“Penumpuan Belanjawan Negeri 2017 kali ini adalah kepada infrastruktur.

“Sebanyak RM5 juta dijangka akan disalurkan bagi membaik pulih juga menaik taraf beberapa kemudahan asas,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut berharap peruntukan itu dapat membantu penduduk menikmati hasil negeri dalam menjalani kehidupan lebih baik.

Belanjawan Negeri 2017 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pada 31 Oktober ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2016 lalu, Kerajaan Negeri giat melaksanakan dasar pembangunan Smart Selangor ke arah merealisasikan ‘Smart State’.

-AA-