Categories
NASIONAL

Gerakan R sertai Bersih 5, tuntut royalti minyak Kelantan-Terengganu

PETALING JAYA: Gerakan Rakyat (Gerakan R) bagi menuntut royalti gas dan minyak Kelantan dan Terengganu berhasrat menyertai Himpunan Bersih 5 pada 19 November depan.

Penasihat Gerakan R, Datuk Raja Bahrin Raja Ahmad berkata, ketetapan itu diambil setelah Putrajaya mempersetujui tuntutan royalti baharu Kerajaan Sarawak, sebaliknya tuntutan royalti Kelantan dan Terengganu terus terpinggir.

“Setelah Kerajaan bersetuju atas sebahagian besar tuntutan Sarawak, kenapakah tuntutan untuk kembalikan royalti 5% hasil minyak Terengganu yang telah dibatalkan tidak boleh dipersetujui?

“Kenapakah hak royalti minyak Kelantan yang telah begitu lama dinafikan tidak boleh diberikan?” katanya.

Pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu ditarik balik sejak 2000 sewaktu negeri itu ditadbir PAS.

royalti-minyakSebaliknya ia ditukar kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) dan diuruskan terus oleh Putrajaya.

Manakala, Kelantan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada Putrajaya untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004.

Memetik laporan portal FMT, Raja Bahrin yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, kedua negeri pantai timur itu merupakan pengeluar minyak atau gas utama bagi Malaysia Barat, namun tersenarai sebagai negeri termiskin di Malaysia.

“Sebagai salah satu badan bukan kerajaan yang akan turun menyertai Bersih 5 nanti, kami berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Bersih akan berlangsung sehingga 19 November sahaja tetapi Gerakan R akan berterusan sehingga tuntutan dilunaskan,” katanya.

Sebelum ini, Sarawak menuntut kenaikan kadar royalti minyak daripada 5 peratus kepada 20 peratus dalam satu usul yang disokong wakil rakyat BN dan pembangkang di Dewan Undangan Negeri pada tahun 2015.

-nR-