OLEH ERMIZI MUHAMAD
PUTRAJAYA, 12 OKT: Pendakwa raya didakwa gagal memberikan bukti-kukuh bersabit sabitan fitnah liwat 2 membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bercakap kepada SelangorKini, beliau berkata hujah diberikan pendakwa raya Datuk Ahmad Kamal Md Shahid lebih bersifat teknikal, tanpa memberikan pengesahan sahih berhubung kenyataannya.
“Hujah diberikan peguam kami sangat untuk membuktikan bahawa kes ini lebih memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Namun pihak pendakwa memberikan hujah balas bersifat teknikal sahaja. Untuk tempoh itu, kita masih lagi menunggu sebarang keputusan dan pertimbangan yang dibuat oleh mahkamah nanti,” katanya ketika ditemui di perkarangan Istana Kehakiman, di sini.
Sebelumnya, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Maknudin menangguhkan keputusan semakan kehakiman yang dibuat Anwar.
Anwar memfailkan semakan tersebut selepas mendapati wujudnya keraguan berhubung penglibatan panel hakim terdahulu, dalam kes sabitan fitnah liwat terhadapnya.
Bekas Ketua Pembangkang itu diwakili peguam, Datuk Sri Gopal Sri Ram, N Surendran, R Sivarasa, Sangeet Kaur Deo, J Leela, Latheefa Koya dan Kimberley Motley.
Pasukan pendakwa raya diwakili Ahmad Kamal, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Zhafran Rahim Hamzah.
EZY