OLEH NAZLI IBRAHIM
KUALA LUMPUR, 21 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba memutar belitkan fakta sebenar bahawa negara sebenarnya dipaksa mengurangkan kebergantungan hasil daripada sumber minyak dan gas akibat harga pasaran antarabangsa bahan api itu mengalami kemerosotan hampir 50 peratus.
Keadaan itu menyebabkan kerajaan menanggung kehilangan besar pendapatannya daripada industri minyak dan gas sekali gus menyebabkan peratusan pendapatan daripada hasil perut bumi itu menurun dengan sendirinya.
Bagaimanapun Najib tanpa malu mendakwa ‘kejayaan’ itu hasil usaha kerajaan pimpinannya mempelbagaikan sumber hasil kerajaan seterusnya mampu mengurangkan kebergantungan hasil daripada minyak dan gas sebanyak 41.3 peratus pada 2009 kepada 14.6 peratus pada 2016.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata Najib sepatutnya mengariskan usaha membanteras rasuah dalam Belanjawan 2017 dibentangkannya itu dan sekaligus mampu memberi kesan positif kepada pendapatan negara.
“Kredibiliti Perdana Menteri sekarang menjadi siasatan pihak berkuasa antarabangsa termasuk Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
“Maka bila beliau mengumumkan dasar ini, beliau tidak menyasarkan masalah rasuah, masalah politik wang dan juga hasil negara yang berkurangan tetapi tanpa iltizam politik dan komitmen mengurangkan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Nurul Izzah berkata demikian kepada SelangorKini di Dewan Rakyat sebaik sahaja meninggalkan sesi pembentangan Belanjawan 2017 yang dibentangkan Najib.
Ketika ditanya tindakan Ahli Parlimen Pembangkang keluar daripada Dewan meskipun Najib masih belum selesai membentangkan Belanjawan 2017, Nurul Izzah menjelaskan tindakan itu diambil apabila Najib yang kredibilitinya tercalar itu masih gagal menumpukan usaha membanteras isu rasuah.
-nR-