OLEH SYASYA SUFIAN
SELAYANG, 16 OKT: Program Jom Shopping Deepavali ternyata membantu meringankan beban masyarakat India menjelang musim perayaan cahaya itu.
Perkara itu diakui masyarakat India di DUN Taman Templer selain teruja dan gembira menerima baucher RM100 sempena Deepavali.
Penerima, N. Mageswari, 45, berkata pemberian itu dapat menampung perbelanjaan dapur semasa perayaan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin dengan kesusahan rakyat.
“Walaupun RM100, ia membantu mengurangkan kos perbelanjaan dan duit lebih yang lain boleh ditumpukan untuk membeli pakaian anak-anak,” katanya ketika ditemui Selangor Kini.
Ucapan sama turut dikongsi N. Dheeban, 29, selain berharap menerima bantuan sama untuk tahun berikutnya.
“Gaji pekerja pengawal seperti saya tidak sebesar mana, dengan ada bantuan ini dapat mengurangkan beban saya yang perlu menaggung empat ahli keluarga,” katanya yang baru pertama kali menerima bantuan Jom Shopping.
Sementara itu, J.Malarvili, 45, berkata baucher itu amat bermakna untuk dirinya dan keluarga di saat kos sara hidup kini semakin menekan.
“Saya berharap, kerajaan negeri akan meneruskan program ini membantu rakyat berpendapatan rendah memandangkan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.
-nR-