Categories
SELANGOR

Kes dera kanak-kanak semakin membimbangkan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 15 OKT: Kes penderaan kanak-kanak semakin membimbangkan sekali gus menjadi isu masyarakat yang wajar ditangani segera.

Exco Kesihatan,Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, statistik bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mendapati 1,549 kes penderaan fizikal terhadap kanak-kanak dilaporkan berlaku sejak 2011 hingga Mac 2016.

“Daripada jumlah ini Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 420 kes diikuti Johor sebanyak 250 kes bagi tempoh lima tahun tersebut.

“Statistik sama merekodkan 48 kes penderaan dilakukan teman lelaki ibu, manakala enam kes disebabkan teman wanita bapa,” katanya.

daroyah-seminar-kanak-kanakBeliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Seminar Hak dan Keselamatan Kanak-kanak Selangor 2016 di Hotel De Palma Shah alam, di sini, hari ini.

Daroyah berkata, lebih mengejutkan apabila pihak berkuasa mendapati golongan yang paling ramai terlibat adalah dalam kalangan penjaga atau pengasuh dengan 439 kes, diikuti bapa kandung (407), ibu kandung (303) dan saudara terdekat.

“Mangsa berusia setahun hingga tujuh tahun merupakan yang paling ramai di dera iaitu seramai 743 orang, diikuti yang berusia lapan tahun ke atas sebanyak 468 orang.

“Lebih menyedihkan bayi yang berusia bawah setahun turut menjadi mangsa dera iaitu seramai 320 orang,” katanya.

-nR-