OLEH HAFIZAN TAIB
BANDAR SERI PUTRA, 10 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bersama Sekolah Tinggi Keguruan dan Ilmu Pendidikan (STKIP) Qomaruddin, Jawa Timur, Indonesia, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di dalam memperkasakan jaringan kerjasama akademik dan pembangunan mahasiswa di peringkat antarabangsa.
Majlis bersejarah itu diadakan di kolej terbabit, baru-baru ini, dengan diketuai Rektornya, Prof Dato’ Ab Halim Tamuri manakala, Drs H Moh Maghfur mewakili STKIP Qomaruddin.
Ab Halim dalam kenyataannya berkata, KUIS melahirkan rasa bangga atas kesudian STKIP Qomaruddin menjalin hubungan dan kerjasama demi kebaikan bersama.
Hasil perbincangan KUIS dan STKIP Qomaruddin bersetuju untuk terus melebarkan dan mempelbagaikan jaringan kerjasama di dalam pertukaran pensyarah dan program mobiliti pembangunan mahasiswa.
“Ia juga termasuk penganjuran seminar dan konvensyen, penerbitan jurnal serta penyelidikan yang memberi impak positif kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Rektor Pengurusan korporat KUIS, Dr Zulkifli Abd Hamid; Timbalan Rektor Pembangunan Mahasiswa dan Alumni KUIS, Dr Mokmin Basri.
-nR-