Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 10,000 meriahkan Mizuno Shah Alam Wave Run 2016

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 OKT: Mizuno Shah Alam Wave Run 2016 mendapat sambutan meriah dengan penyertaan lebih 10,000 peserta dalam larian diadakan di perkarangan Stadium Shah Alam di sini, malam tadi.

Larian diadakan sempena sambutan ulang tahun bandar raya Shah Alam ke 16 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dilepaskan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pada kira-kira jam 12 tengah malam dengan peserta berlari di sekitar kawasan bandar raya.

Ketua Bahagian dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata program itu adalah inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit dalam mempromosikan bandar raya Shah Alam serta menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas melalui aktiviti larian.

“MBSA komited untuk melaksanakan program sukan di Shah Alam serta memberi peluang orang ramai terutamanya remaja bergiat aktif dalam aktiviti sebegini dan menjalani gaya hidup cergas.

img_20161009_002819_844“Antara aktiviti sukan dianjur MBSA adalah seperti bola sepak, futsal, bola tampar dan lumba basikal,” katanya.

Mizuno Shah Alam Wave Run 2016 menarik pnyertaan peserta dari dalam dan luar negara, terbahagi kepada tiga kategori iaitu lima kilometer (KM), 10 km dan 21 km diadakan MBSA dengan kerjasama Mizuno Malaysia serta agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Turut hadir, Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari; Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad; Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohd Zubir Idrus, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan hadirin lain.

EZY