Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Pendekatan inovasi & kreativiti perkasa perkhidmatan awam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 OKT: Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri digesa menggunakan pendekatan berteraskan inovasi dan kreativiti dalam usaha memperkasa perkhidmatan awam Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendekatan baru diperlukan agar selari dengan keperluan dan cabaran semasa.

“Mengambil kira faktor ini, Kerajaan Negeri juga pantas memperkenal Smart Selangor dalam pembentangan Belanjawan 2016 yang disambut baik jabatan dan agensi.

“Hasilnya, kita dapat lihat peningkatan ketara produktiviti Kerajaan Negeri termasuk meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2015,” katanya di Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Selangor 2016, semalam.

majlis-apresiasi-inovasi-2016-mb-asri-4Majlis meraikan pemenang pelbagai kategori seperti Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor 2016, Anugerah Inovasi Negeri Selangor 2016, Anugerah Mini Konvensyen KIK Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri 2016, Anugerah Mini Konvensyen 2016 dan Anugerah Khas Inovasi Selangor (AINS) 2016.

Bagi Anugerah Khas, Kumpulan ‘I Six Inpirasi’ dari Jabatan Penguatkuasa Majlis Daerah Sabak Bernam (MBSB) menerima Anugerah Khas Inovasi sementara Anugerah Khas KIK diraih Kumpulan X-Pert dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Selain itu, terdapat empat penerima Anugerah Khas International Convention on Quality Control Circle iaitu Kumpulan EX7 dari MBSA, Kumpulan Beyond Boundaries (Majlis Perbandaran Subang Jaya), Kumpulan QE Talk (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dan Kumpulan INFYNYTY (Jabatan Perancang Bandar dan Desa).

Pada masa sama, MPSJ turut menerima dua lagi Anugerah Khas lain iaitu Anugerah Khas Inovasi Hijau dan Anugerah Khas Inovasi Smart City.

Selain itu, Anugerah Khas Pencapaian Gemilang AINS diberikan kepada Dato’ Dr Zainul Rashid Mohd Razi atas usahanya membudaya sektor penyelidikan dan perubatan.

-nR-