Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Raja Muda pemimpin wibawa, dikasihi rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 15 OKT: Meskipun merupakan putera raja yang bakal menduduki takhta istana suatu hari nanti, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin cekal menjalani latihan lasak ketenteraan sama seperti penuntut lain di Royal Military Academy Sandhurst.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kecekalan baginda itu merupakan ciri kepahlawanan yang sememangnya merupakan tradisi dan jati diri yang mengalir dalam darah leluhur kesultanan Selangor membangun kerajaan, mencipta keteraturan dan sistem pemerintahan di seantero rantau nusantara.

“Di sana, Tuanku menjalin persahabatan sejati dengan pegawai-pegawai kadet dari tanah air. Ikatan ini Tuanku namakan ‘Skuad Malaya’.

Raja Muda“Meskipun berlatih di bumi asing, Tuanku tidak pernah lupa dan tercabut dari akar dan kesetiaan tulen terhadap Angkatan Tentera Malaysia dan sesungguhnya, Tuanku telah menghayati kata-kata pujangga: Hubbul Watan Minal Iman – Cintakan tanah air sebahagian dari iman.

“Akademi tersohor ini telah melahirkan seorang graduan memiliki kemahiran dan kepakaran ilmu ketenteraan, berdisiplin tinggi dan memiliki daya ketahanan fizikal dan mental di mana semasa latihan, Tuanku ditusuk hingga ke tulang oleh kedinginan musim sejuk dan ini menzahirkan ciri-ciri kelasakan fizikal dan kekuatan emosi.

“Tuanku telah menyelami kelemahan diri sebagai langkah membina kekuatan untuk menjadi pegawai dan pemimpin wibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah sebagai Raja Muda Selangor.

Pentauliahan Tengku Amir sebagai Pegawai Tentera Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Terendak, Melaka yang juga kem sama Mohamed Azmin pernah menabur bakti sebagai guru Matematik anak perajurit sekali lagi menjadi kebangaan rakyat.

Jelasnya, hasil didikan sempurna ayahndanya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan diikuti latihan ketenteraan menjadikan keterampilan Tengku Amir menepati ciri pemimpin yang dikasihi rakyatnya.

raja muda bersalam aTambah Mohamed Azmin, keperibadian Tengku Amir turut menyentuh hati beliau dan rakyat apabila tidak kekok mendampingi masyarakat dalam pelbagai acara seperti program Ihya Ramadan bagi menyemarakkan Islam dan aktiviti sukan demi melahirkan generasi masa hadapan sihat, cerdas dan gagah.

“Patik dan sekalian rakyat ingin menyembah taat setia ke atas Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dan memperbaharui ikrar mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan. Selagi ada bulan dan matahari, begitulah kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara kekal abadi.

“Institusi Raja Melayu bagaikan sauh, agar bahtera bangsa tidak dihanyutkan oleh taufan dan badai. Raja dan rakyat berpisah tiada.

“Institusi Raja Berperlembagaan adalah payung kestabilan dan kemakmuran Negeri Selangor untuk kekal sebagai sebuah negeri maju yang peduli rakyat,” katanya lagi.

-nR-