OLEH NAEEM RAFFI
SHAH ALAM, 2 OKT : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan ucapan tahniah kepada peserta Konvoi #Bersih 5 yang berjalan serentak merentas enam negeri, bermula semalam.
Mohamed Azmin berkata, konvoi itu memberi inspirasi kepada semua rakyat untuk bangkit menentang penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
“Tuntutan rakyat untuk sistem pilihanraya yang bersih dan adil adalah jalan keluar bagi menyelamatkan negara ini daripada terus musnah dalam tangan mereka yang berkuasa dengan cara tipu pilihanraya,” katanya yang juga Timbalan Presiden KEADILAN menerusi laman facebook.
Semalam, Bersih 2.0 mengadakan konvoi jelajah ke bandar di luar Kuala Lumpur bagi memaklumkan himpunan Bersih 5 bakal diadakan pada 19 November depan untuk menuntut pembaharuan institusi.
Bagaimanapun, perjalanan Konvoi #Bersih 5 dari Lumut ke Teluk Intan, Perak sedikit tercemar apabila kumpulan reformasi pilihan raya itu diganggu sekumpulan penyokong baju merah diketuai, Ketua bahagian Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos.
Bersih 2.0 memaklumkan sekitar 30 hingga 40 penunggang motosikal baju merah juga turut mengekori konvoi itu dan mula menarik bendera dari kenderaan konvoi, menendang kereta dan menumbuk cermin sisi.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San menggesa polis menyegerakan tindakan terhadap Jamal sepertimana dilakukan terhadap pembangkang.
“Ia adalah jelas bahawa orang-orang yang sengaja mencetuskan huru-hara dan kekacauan adalah Baju Merah yang diketuai oleh Jamal.
“Saya menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan segera dengan menyiasat dan menangkap Baju Merah yang diketuai oleh Jamal seperti yang berlaku dalam siasatan berkaitan ‘salah laku’ pembangkang,” kata Lau dalam kenyataan.
-nR-