OLEH NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 5 OKT: Walaupun mempunyai jadual yang padat, Walikota Bandung, Mochammad Ridwan Kamil mengambil kesempatan melakukan kunjungan hormatnya terhadap Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Mohamed Azmin berkata, kunjungan Mochammad Ridwan ke pejabat beliau di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu dibuat ketika Mochammad Ridwan mengadakan lawatan kerja selama tiga hari di Petaling Jaya.
“Walaupun jadual beliau begitu ketat diaturkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) namun beliau mengambil sedikit masa untuk bertemu saya bagi pihak Kerajaan Negeri.
“Ini adalah kali kedua lawatan bapak Ridwan ke Selangor cuma kali ini jadualnya selama tiga hari agak padat dan saya mengambil kesempatan ini untuk mendengar pandangan beliau secara khusus tentang smart city yang berjaya di Bandung kerana kebetulan Selangor juga meletakkan gagasan ‘smart state’ mulai tahun lalu,” kata Mohamed Azmin.
Beliau berkata demikian sejurus selepas berlangsungnya pertemuan yang selama kira-kira 45 minit itu.
Jelasnya, walaupun Mochammad Ridwan merupakan seorang pemimpin muda berusia 45 tahun, namun kejayaannya mengubah Kota Bandung sebagai bandar pintar menarik perhatian rantau Asia dan dunia.
“Beliau seorang tokoh muda baru yang menyambut hari lahirnya ke 45 semalam di Selangor tetapi beliau seorang profesional, seorang arkitek.
“Walaupun diberikan hanya tiga tahun menjadi Wali kota tetapi beliau berjaya transformasikan Bandung sebagai ‘smart city’ dan sekarang Bandung merupakan bandar ketiga terbesar di Indonesia,” katanya lagi.
Jelas Mohamed Azmin, Mochammad Ridwan berjaya menggunakan kaedah aplikasi ‘internet of things’ dalam membangunkan smart city di Bandung sama seperti mana gagasan Smart Selangor.
EZY