OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 6 OKT: DAP mendesak kerajaan memberi reaksi segera terhadap tindakan tentera Israel menahan kapal membawa misi kemanusiaan ke Gaza, malam tadi.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata kerajaan perlu memastikan semua tahanan dalam kapal itu dibebaskan.
“Kami mendesak agar respon yang tegas serta tindakan segera dapat diambil oleh kerajaan Malaysia serta dunia bagi memastikan semua tahanan dibebaskan atas nama kebebasan dan kemanusiaan,” katanya.
Kenyataan itu turut meminta rakyat Malaysia perlu menunjukkan sokongan sedaya upaya melalui pelbagai saluran yang ada sebagai tanda solidariti dengan misi kemanusiaan berkenaan.
“Kita juga perlu mendoakan keselamatan para aktivis kemanusiaan di atas kapal Zaytouna-Oliva itu,” katanya.
Pada 14 September lalu, Zaytouna-Olivia mula berlepas dari pelabuhan Ville, Barcelona untuk ke Gaza bagi menyampaikan misi bantuan dan kemanusiaan.
Misi membabitkan 13 aktivis termasuk tiga anak kapal itu bagaimanapun ditahan kira-kira 8.58 malam, pada Rabu lalu.
Seorang daripada anggota misi itu ialah warga Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hassan.
Anggota lain yang menyertainya sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin terdiri daripada wanita dari Tunisia, Algeria, Kanada, Turki, AS, Sweden, Ireland, Israel, New Zealand dan Australia.
-nR-