OLEH HAFIZAN TAIB
KUALA LUMPUR, 5 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menitikberatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul dalam pelbagai urusan termasuk bersama orang ramai dan pihak berkaitan dalam kawasan pentadbirannya.
Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain, berkata keutamaan dalam penggunaan Bahasa Kebangsaan standard menjadi amalan pihaknya dan berusaha menimbulkan kesedaran awam terhadap perkara itu.
“Sempena bulan Bahasa Kebangsaan ini kita cuba mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul .
“Kalau kita dapati ada pihak memasang iklan dan sebagainya atau menggunakan bahasa tidak betul atau selari dengan Bahasa Kebangsaan, kita akan membuat teguran.
“Kalau perlu kita kuatkuasakan maka kita akan buat penguatkuasaan,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan serta Pelancaran Hari Integriti dan Bulan Bahasa MPAJ di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjalin kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memenuhi matlamat berkenaan.
“Dalam perkara ini, DBP boleh memberi nasihat sewajarnya kepada kita dan orang ramai supaya dapat menggunakan bahasa dengan cara betul,” katanya.
EZY