KUALA LUMPUR 19 OKT: Pakatan Harapan membentangkan 11 cadangan dasar yang rela diciplak Kerajaan Persekutuan dan segera diguna pakai dalam Belanjawan 2017.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata asas kepada cadangan itu adalah berdasarkan falsafah Maqasid-As-Syariah yang mementingkan rakyat, dan juga berdasarkan data yang sedia ada.
“Oleh itu saya mempelawa semua hadirin, pihak media, dan juga menteri-menteri dari sebelah sana, untuk meneliti Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan kami.
“Tiada masalah jika kerajaan mahu menggunakannya, kami sedia membantu tapi minta diberikan kredit juga kepada pihak kami. Kalau hadis pun ada perawinya, berikanlah sedikit penghargaan kepada kami,” kata Wan Azizah.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Alternatif Malaysia 2017 bertemakan ‘Pakatan Harapan Menentukan Masa Hadapan’ di Bilik Jawatankuasa 2, di Parlimen, hari ini.
Sebelas dasar itu mencakupi aspek peluang pekerjaan dan keusahawanan, kenaikan gaji, kawalan pekerja asing, urustadbir yang baik serta daya melawan rasuah, pembangunan Sabah dan Sarawak, pengangkutan awam, serta isu-isu perumahan dan kesihatan.
Sementara itu Wan Azizah mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertungkus-lumus bekerja bagi menyediakan belanjawan alternatif 2017 itu.
“Antaranya ialah YB Wong Chen, YB Dr. Ong Kian Ming, dan Saudara Dr. Dzulkefly, di bawah kepimpinan Dato’ Saifuddin Abdullah sebagai coordinator dan juga penasihat.
“Juga kepada semua staf pejabat YB Wong Chen dan penolong YB Ong Kian Ming yang telah membuat draf, infografik, layout, proofreading,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bakal membentangkan Belanjawan 2017 pada hari Jumaat ini di Parlimen.
EZY