OLEH ERMIZI MUHAMAD
SEMENYIH, 4 OKT: Pemantauan berterusan 24 jam melibatkan beberapa agensi kerajaan diadakan sebagai inisiatif memastikan tiada lagi pencemaran air berlaku di lokasi Batu 22 1/14 tapak kilang haram, di sini.
Pemangku Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Nor Zamri Sondor, berkata pasukannya juga kini giat mengenalpasti dan menjalankan kerja pembersihan kawasan punca pencemaran.
Katanya, inisiatif tersebut juga dibuat sebagai jaminan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada masyarakat sekitar Semenyih.
“Kami telah mengadakan perbincangan bersama YDP MPKj dan Pegawai Daerah untuk kami meneruskan kerja pemantauan selama 24 jam.
“Kerja juga diteruskan sehingga proses pembersihan minyak terpakai dibersihkan semula,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak lokasi kilang haram yang didakwa menjadi punca kepada pencemaran bekalan air bersih di negeri ini.
Hasil tinjauan mendapati, pekerja membuang sisa kumbahan kilang secara terus ke sungai yang menyebabkan sumber bekalan air negeri terjejas dan terpaksa dihentikan, baru-baru ini.
Difahamkan, pemilik tanah menyewa premis berkenaan kepada pengurus operasi kilang untuk menjalankan kerja perindustrian tanpa mendapat lesen sah daripada Majlis Perbandaran Klang (MPKj).
Susulan itu, kompaun dan sita dikeluarkan sementara kerja pemusnahan kelengkapan operasi kilang turut dimusnahkan.
Dalam perkembangan itu, Nor Zamri berkata enam titik pemantauan juga kini beroperasi sepenuhnya bagi mengenalpasti sebarang titik punca pencemaran lain di kawasan Semenyih.
“Sehingga malam tadi, kita menjumpai lokasi pencemaran ini jam 11.30 malam dekat titik permulaan Pekan Semenyih dan proses pencarian kawasan pencemaran lain juga diteruskan.
“Apabila kita mengenalpasti punca ini, kita terus memaklumkan perkara ini kepada pihak MPKJ, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Tanah Daerah untuk tindakan selanjutnya,” kata Zamri.
Kerajaan Negeri sebelum ini menegaskan pihak terlibat yang cuba mensabotaj atau terlibat dalam kegiatan pencemaran Sungai bakal diheret ke muka pengadilan.
EZY