OLEH SYASYA SUFIAN
KUALA LUMPUR, 7 OKT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa memberi jaminan keselamatan kepada aktivis yang menyertai misi keamanan ke Gaza dengan mengambil iktibar insiden yang pernah berlaku sebelum ini.
Mengambil contoh insiden yang menimpa 13 delegasi “Women’s Boat To Gaza” (WBG) ditahan Israel, Presiden Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan perlu dipandang serius.
“PBB masih gagal memainkan peranannya yang sebenar dan penahanan ini tidak sewajarnya berlaku.
“Sebenarnya tidak timbul persoalan mereka ini perlu ditahan termasuk ancaman daripada 13 aktivis wanita terbabit,” katanya selepas penyerahan memorandum isu penahanan peserta WBG kepada PBB Malaysia di Wisma UN, di sini, hari ini.
Raja Ahmad mewakili 25 badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum terbabit kepada koordinator khas perwakilan PBB, Juanita Joseph dengan menuntut pertubuhan itu bertindak tegas ke atas Israel.
Sementara itu, Pengerusi Koordinator Pembebasan Dr Fauziah Mohd Hassan, Mohd Hakim Mohd Nor menggesa PBB membuat akuan janji untuk membolehkan bantuan disampaikan kepada penduduk Gaza tanpa sekatan.
“Misi utama bukan 13 orang tetapi jutaan manusia di Palestin yang dibom setiap hari.
“Kita minta PBB jangan berdiam diri. Kalau mereka boleh beri perhatian kepada 13 orang ini, kenapa tidak rakyat Palestin yang dibunuh setiap hari?” soalnya.
Media melaporkan wakil tunggal Malaysia yang mengikuti misi berkenaan, Dr Fauziah disahkan sudah dibebaskan tentera Israel dan semua anggota misi dalam kapal Zaytouna-Oliva berada dalam keadaan selamat.
-AA-