SHAH ALAM 5 OKT: Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang ditutup pada jam 10.00 pagi semalam (4 Oktober) akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih mula beroperasi pada jam 11.00 malam semalam (4 Oktober).
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata bekalan air di kolam takungan perkhidmatan daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat dijangka mencapai paras optimum secara berperingkat mulai hari ini (5 Oktober).
Katanya, dalam usaha memastikan bekalan air diagihkan lebih efisien semasa pemulihan ini serta mengurangkan tempoh gangguan bekalan air kepada pengguna, bekalan air diagihkan secara berjadual ke kawasan terlibat.
“Air dibekalkan ke zon dijadualkan mendapat bekalan air, pada jam 4.00 petang. Bekalan air dihentikan dua hari kemudian pada jam 9.00 pagi (kecuali pada hari ini, hari pertama penjadualan yang mengambil masa hanya 1 hari).
“Bekalan air bantuan dihantar dengan lori tangki ke kawasan mengalami gangguan bekalan air akibat paras air rendah di kolam takungan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan media.
Katanya, SYABAS merakamkan setinggi penghargaan kepada penyedia bekalan air daripada negeri lain.
Iaitu Pengurusan Air Pahang, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd, Lembaga Air Perak, SAJ Holdings Sdn Bhd, Syarikat Air Melaka Berhad, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd, Air Kelantan Sdn Bhd, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan Syarikat Air Terengganu, yang menawarkan lori tangki membantu usaha mengagih bekalan air kecemasan kepada pengguna di Selangor.
Tangki air statik juga ditempatkan di premis memerlukan bekalan air sepanjang masa. Pengguna dinasihati supaya mengguna air dengan berhemat semasa tempoh pemulihan bekalan air.
Jadual bekalan air sedang dan akan terus dipantau dengan rapi untuk memulihkan bekalan air di semua kawasan yang terlibat dengan secepat mungkin.
Bagi mengelakkan kesesakan talian di pusat panggilan kami, pengguna dinasihati untuk memuat turun aplikasi telefon bimbit pintar “mySYABAS” dan melayari www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pemulihan bekalan air di kawasan terlibat.
Sila hantar alamat premis ke SMS 15300 untuk meminta bantuan bekalan air.
EZY