Categories
PENDIDIKAN

Pengajian percuma UNISEL rentas pendidikan lapisan kaum

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 OKT: Inisiatif Universiti Selangor (UNISEL) melaksanakan pengajian percuma menerusi Skim Dermasiswa membuka peluang pendidikan lebih menyeluruh kepada mahasiswanya.

Naib Canselor UNISEL, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata matlamatnya selari dengan hasrat institusi pengajian milik Kerajaan Negeri itu menawarkan pendidikan rentas bangsa dan kaum.

“Ianya selari dengan hasrat dan objektif utama skim ini yang diperkenalkan untuk membuka peluang pendidikan seluas-luasnya kepada semua lapisan masyarakat merentasi negeri dan kaum terutamanya yang tidak berkemampuan.

“Oleh itu, adalah menjadi kerugian bagi pelajar yang mempunyai kecemerlangan akademik tetapi tidak mempunyai peluang memajukan diri ke peringkat yang lebih tinggi atas alasan kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataannya yang dipaparkan di akaun Facebook rasmi UNISEL.

Sebelum ini, Skim Dermasiswa dibuka kepada semua warga Malaysia dengan memberi keutamaan kepada rakyat Selangor atau mereka yang telah bermastautin di negeri ini.

Tawaran tersebut dibuka bagi peringkat pengajian bidang Sains dan Teknologi Maklumat ekoran terdapat keperluan meruncing terhadap dua bidang itu dalam pasaran pekerjaan pada masa kini.

Untuk tempoh sehingga kini, peruntukan sebanyak RM3.9 juta dikeluarkan bagi pembiayaan pendidikan kepada pelajar berkelayakan.

Yuran percuma sepanjang pengajian selama tiga semester turut diberikan dengan syarat mahasiswa perlu menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di UNISEL.

EZY