OLEH SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 15 OKT: Pengusaha Taska disaran memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah penting menjamin keselamatan kanak-kanak dalam jagaan khusus bagi mengelak kes penculikan.
Exco Kesihatan,Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ini kerana kes culik membabitkan kanak-kanak menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima tahun ini dengan 8,842 kes dicatatkan sehingga Mei 2016.
Menurutnya, Johor mencatatkan jumlah kehilangan kanak-kanak tertinggi iaitu sebanyak 1,596, diikuti Selangor (1078), Kedah (833) dan Sabah (741).
“Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di taska sebagai salah satu langkah keselamatan yang perlu dititik beratkan pengusaha taska.
“Dengan pemasangan CCTV, memudahkan pihak polis mengesan mangsa dan suspek kes penculikan,” katanya ketika Majlis Perasmian Seminar Hak dan Keselamatan Kanak-kanak Selangor 2016 di Hotel De Palma Shah alam, di sini, hari ini.
Kes penculikan atau kehilangan kanak-kanak semakin membimbangkan sehingga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melancarkan sebuah portal sebagai medium semakan data berkaitan kanak-kanak hilang dengan secepat mungkin.
-nR-