Assalamualaikum w.b.t.
Firman Allah S.W.T di dalam Surah An-Nisaa’ ayat 100 yang bermaksud :
“Barangsiapa berhjrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnyadengan maksud berhijrah kepada Allah dan rasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T di atas nikmat Iman dan Islam serta segala kebaikan yang telah dikurniakan sepanjang hidup kita ini.
Saya selaku EXCO yang diamanahkan untuk menjaga Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor dengan ini mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1438H dengan tema “HIJRAH ASAS PENCERAHAN” kepada seluruh rakyat Selangor yang beragama Islam bagi mewakili Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.
Sesungguhnya tanggal 1 Muharam merupakan tarikh bersejarah kepada umat islam. Ianya merupakan hari pertama kepada kalendar bulan Islam yang berkait langsung dengan peristiwa penghijrahan Baginda Rasulullah S.A.W. daripada Makkah ke Madinah Al Munawwarah sehingga mencetuskan sistem kenegaraan Islam yang pertama di atas muka bumi Allah ini.
Peristiwa Hijratur Rasul ini juga banyak mengandungi siri-siri pengorbanan para Sahabat Nabi S.A.W. dan hikmah-hikmah yang perlu difahami oleh generasi pembangun ummah di masa hadapan. Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku di atas Baginda S.A.W. merupakan bicara Allah S.W.T. ke atas hamba-hambaNya dan ianya bukanlah perkara yang sia-sia.
Peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. ini memberi pengajaran kepada kita semua bahawa fungsi dan peranan kita bagai hamba Allah di atas muka bumi ini tidak sekadar melakukan ibadah khusus semata-mata.
Peranan makhluk manusia di atas muka bumi ini adalah lebih luas lagi iaitu sebagai khalifah Allah S.W.T. sepertimana yang ditegaskan oleh Al-Mawardi di dalam kitabnya, Al-Ahkam As-Sultaniah iaitu menjaga Agama (Islam) dan mentadbir dunia dengannya (Islam).
Oleh itu, umat islam perlulah mencontohi segala tindakan dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. bagaimana untuk memimpin dan memastikan tertegaknya ummah yang beriman, bertaqwa, bersatu padu, hormat-menghormati antara satu sama lain samada muslim dan bukan muslim serta berani berkorban untuk mempertahankan aqidah perjuangan.
Selain itu, peristiwa hijrah ini juga telah mengajar kita bagaimana perpaduan merupakan satu perkara yang amat penting di dalam membangunkan sesebuah negara dan negeri.
Sekiranya aspek perpaduan tidak diagendakan sebagai dasar pembinaan sesebuah masyarakat maka kita akan melihat masyarakat tersebut akan sentiasa berprasangka buruk, fitnah memfitnah, keji dan umpat berleluasa dan akhirnya masyarakat dan negara akan rosak binasa.
Oleh itu, peristiwa terjalinnya ukhuwah perpaduan di antara kaum Muhajirin dengan kaum Ansar melalui tindakan Nabi S.A.W. di atas nama Islam adalah merupakan permulaan kepada kejayaan pembentukan Khilafah Islamiyah di dalam keadaan suasana Madinah di waktu itu mempunyai masyarakat majmuk yang pelbagai.
Maka umat islam di Malaysia sudah sewajarnya mencontohi kejayaan Rasulullah S.A.W. di dalam melangkaui batas-batasan bangsa, kaum, agama, etnik dan ras keturunan untuk mengharmonikan kehidupan masyarakat majmuk yang berpadu dengan mempamerkan semangat toleransi dan kasih sayang yang selari dengan ajaran Islam yang menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.
Oleh itu, saya menyeru kepada setiap muslim supaya dapat mengambil pengajaran dan pengiktibaran yang terkandung di dalam peristiwa hijratur rasul ini secara bersungguh-sungguh agar kita benar-benar menghayati Sambutan Maal Hijrah dengan sempurna dan dapat melakukan perubahan dari segala aspek kehidupan kita masa kini ke arah kebaikan yang akan memberi manfaat kepada orang lain.
Semoga Allah S.W.T. akan sentiasa mendorong dan membimbing kita semua ke arah kebaikan tersebut.
Salam Maal Hijrah 1438H.
“HIJRAH ASAS PENCERAHAN”
Y.B. DATO’ DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI, D.P.M.S.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan
Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Negeri Selangor
Shah Alam
29 Zulhijjah 1437H / 01 Oktober 2016