OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 2 OKT: Gol Ugo Ukah menceriakan Selangor apabila berjaya mengatasi T-Team 2-1 dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam di sini, malam tadi.
Jaringan pada minit ke-80 itu dihasilkan Ukah melalui sepakan kencang di luar kotak penalti hasil hantaran tendangan sudut ketua pasukan, Andik Vermanshah melepasi penjaga gol lawan, Ilham Amirullah.
T-Team terlebih dahulu menjaringkan gol selepas dihadiahkan sepakan penalti angkara kekasaran Bunyamin Umar ke atas Sapawi Rased.
Patrick Crus (m22) tidak melakukan kesilapan dengan sepakan tepat menerjah jaring memperdayakan Khairulazhan Khalid.
Gol terbabit merancakkan saingan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Selangor terutamanya bagi mencari gol penyamaan.
Hazwan Bakri menggamatkan stadium dengan satu tendangan kencang di depan gol T-Team menepati sasaran untuk jaringan pertama Selangor dalam masa tambahan separuh masa pertama.
Skuad kendalian K Gunalan menggandakan asakan pada separuh masa kedua dengan Hazwan, Andik, Patrick Ronaldinho Wleh dan pemain lain berusaha menghasilkan penyudah berkesan.
Tidak kurang T-Team yang turut menyusun serangan berbisa ke kubu Selangor melalui Noh Hakim Hassan dan rakan-rakan.
Perlawanan yang sengit dengan beberapa pemain mengalami kecederaan itu menghadirkan ceria untuk kem Ukah penyandang juara Piala Malaysia itu apabila Ukah menjaringkan gol 10 minit sebelum perlawanan tamat.
Ia memberi kelebihan kepada Selangor yang mendahului agregat 2 – 1.
Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam separuh akhir kedua di Terengganu, pada 15 Oktober ini.
-AA-