KUALA LUMPUR 9 OKT: Ringgit dijangka didagangkan sekitar paras 4.10 berbanding dolar AS minggu depan, didorong oleh faktor luaran yang baik, susulan pemulihan harga minyak mentah.
Seorang peniaga berkata, data gaji bukan ladang AS yang rendah berbanding unjuran, akan mendorong Rizab Persekutuan supaya lebih berhati-hati terhadap keputusan untuk menaikkan kadar faedah, lapor BERNAMA.
Data gaji bukan ladang yang disiarkan oleh Jabatan Buruh AS pada Jumaat menunjukkan 156,000 pekerjaan diwujudkan pada September, susut berbanding 167,000 pekerjaan pada Ogos.
“Ia tidak menepati unjuran pasaran sebanyak 175,000 pekerjaan. Data itu menunjukkan pertumbuhan pekerjaan semakin perlahan, dan jika Rizab Persekutuan tidak menaikkan kadar dalam jangka terdekat, ini akan memberi manfaat kepada ringgit dan mata wang ekonomi Asia yang lain,” kata peniaga berkenaan.
Mengikut asas Selasa ke Jumaat, nota tempatan rendah berbanding dolar kepada 4.1535/1585 berbanding 4.1320/1390 minggu lalu.
Ringgit juga ditutup bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain. Ia tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0214/0252 daripada 3.0269/0325 Jumaat lalu dan rendah berbanding euro kepada 4.6199/6267 daripada 4.6159/6253 sebelumnya.
Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.9999/9066 daripada 4.0862/0944 minggu lalu berbanding pound British kepada 5.1142/1220 berbanding 5.3596/3704 Jumaat sebelumnya.
EZY