Categories
SELANGOR

RMK-11: Kerajaan Negeri cadang tambah peruntukan JPS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan pembangunan besar bagi membantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor melaksanakan pelbagai projek dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri tidak akan mengabaikan sama sekali sebarang usaha dan sokongan diperlukan JPS Selangor untuk melaksanakan tanggungjawab ke arah memenuhi visi juga misinya.

“Untuk tujuan itu, kita menyediakan peruntukan pembangunan RMK-11 bagi JPS dengan peningkatan 121 peratus berbanding RMK-10.

“Dalam Belanjawan 2017, Kerajaan Negeri bercadang menyediakan peruntukan pembangunan lebih besar kepada JPS Selangor bagi menampung pelaksanaan 85 projek yang dikenal pasti dalam RMK-11,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis makan malam Persidangan Pengurus Kanan JPS Malaysia di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha 1, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Dr Nadzri Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Ketua Pengarah JPS Malaysia, Dato’ Ir Zulkefli Hassan dan Pengarah JPS Selangor, Ir Hashim Osman.

Persidangan terbabit berlangsung, di sini mulai hari ini hingga esok.

img_9179Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap kepentingan pembangunan sistem pengairan serta menyokong JPS negeri sebagai jabatan terpenting yang berdepan cabaran besar dalam menangani masalah perubahan cuaca secara ekstrem, pada masa kini.

Katanya, Selangor dijangka mengalami curahan hujan luar biasa mulai Oktober hingga Disember ini kerana curahan hujan masih berbaki 60 peratus daripada 2,700 milimeter (mm) purata hujan tahunan.

“Curahan 60 peratus hujan ditambah dengan fenomena air pasang besar dalam masa tiga bulan akan datang adalah satu cabaran kerana kebarangkalian berlakunya banjir di beberapa daerah di Selangor.

“Mengikut data jadual waktu dan ketinggian air pasang surut dikeluarkan Pusat Hidrografi Nasional, paras tertinggi diramal berlaku pada pertengahan Oktober dengan ketinggian 5.7 meter (m) dan fenomena ini akan menyebabkan kesan hakisan seterusnya keruntuhan ban laut,” katanya.

-AA-