Categories
SELANGOR

Salur RM45 juta perluas iClean Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Negeri akan mengembangkan penggunaan sistem iClean Selangor dengan peruntukan RM45 juta, umum Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sebanyak empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal menerima manfaat sistem aduan berkenaan yang kini dilaksana di Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Sistem ini antara lain mampu mengesan lokasi aduan untuk memudahkan pemantauan dan mempercepatkan tindakan pematuhan.

“Atas keprihatinan terhadap keluhan rakyat yang mahukan operasi kutipan sisa pepejal yang lebih efektif dan pantas, maka kita kembangkan iClean Selangor kepada PBT lain pada 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

img_20161013_174604_547Bermula Julai 2016, KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dilantik menerajui projek perintis penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal di MPK.

Mohamed Azmin berkata, pengambilalihan pengurusan berkenaan menunjukkan maklum balas positif.

“Keberkesanan operasi ini adalah hasil daripada penggunaan teknologi pengesan operasi dan pergerakan lori kutipan dan penyelia kawasan.

“Ia juga hasil penggunaan sistem aduan berasaskan aplikasi iClean Selangor yang dipantau terus melalui kaedah ‘real time monitoring’ oleh Command Centre,” katanya.

-nR-