OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 13 OKT: Selangor menerima sejumlah RM3.03 bilion pelaburan modal bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim.
Beliau berkata, ia meletakkan Selangor di tempat kedua di belakang Johor, manakala negeri itu berada di kedudukan teratas dengan 130 projek dalam tempoh sama berbanding negeri lain di Malaysia daripada segi bilangan projek.
“Pencapaian ini menunjukkan Kerajaan Negeri berada di landasan tepat bagi menepati sasaran RM6 bilion menjelang akhir 2016.
“Dengan ketidaktentuan ekonomi global, kita berbangga dengan perkembangan ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Selangor International Expo 2016 di Bangunan SUK, di sini, hari ini.
Chang Khim berkata, Selangor juga terus kekal sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan 22.6 peratus.
“Ia menunjukkan peningkatan berbanding sumbangan KDNK pada 2014 dengan catatan 22.4 peratus.
“Kerajaan Negeri percaya Selangor akan menerajui senarai penyumbang KDNK untuk tahun mendatang,” katanya.
-NFN-