OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 6 OKT: Usianya baru mencecah 6 tahun, namun tiada siapa menduga Ehsan Rasidin Amri sudah mampu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dipilih menyertai akademi bola sepak Manchester City, tidak mustahil bakat anak kecil itu mampu menjadi pemain profesional terkemuka suatu hari nanti.
Minat terhadap sukan bola sepak bukan dipaksa, sebaliknya Ehsan sendiri meminta untuk berlatih bola sepak di mana-mana kelab ketika cuti hujung minggu.
Walaupun ketika itu usianya baru 5 tahun, ia tidak penghalang buat ayahnya, Rasidin Amri Amir, 44 menghantar Ehsan menyertai kelab bola Timperley FC, tidak jauh dari rumahnya.
“Selepas tiga minggu menyertai Timperley FC, Ehsan dipilih beraksi untuk Sunday League.
“Pada penampilan pertama Ehsan dalam Sunday League, aksinya turut ditonton seorang pencari bakat Manchester City,” katanya lapor portal berita.
Lebih membanggakan, Ehsan dipilih menjadi pemain terbaik kelab itu untuk kategori pemain berusia 6 tahun, mengalahkan kanak-kanak tempatan lain.
Atas keyakinan itu jugalah mendorong seorang pencari bakat Manchester City untuk menyakinkan Rasidin bahawa Ehsan mempunyai bakat dan perlu mendapat bimbingan secara profesional dalam sukan bola sepak.
“Dia cuba meyakinkan saya bahawa Ehsan perlu mendapatkan bimbingan profesional dengan menyertai Akademi Manchester City.
“Tetapi sebenarnya tidak perlu untuk dia begitu memujuk saya kerana saya dan Ehsan adalah peminat tegar kelab Manchester City.
“Dia minta alamat, nombor telefon dan e-mel untuk dihubungi kemudian sambil berkata Ehsan akan dapat surat tawaran dari Akademi Manchester City dan ia benar-benar berlaku, pada awal Jun lalu,” jelasnya yang merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor.
Akademi Manchester City sebelum ini melahirkan bintang bola sepak hebat di peringkat antarabangsa seperti Shaun Wright-Phillips, Stephen Ireland, Micah Richards, Michael Johnson dan Nedum Onuoha.
Pastinya, ini satu perkembangan baik kepada sukan bola sepak negara untuk melahirkan bakat muda sekali gus beraksi di pentas antarabangsa.
-AA-