Categories
SUKANKINI

SOPMA XIX: Bowling tempin terus sumbang emas buat Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

KUCHING, 4 OKT: Kontinjen bowling tempin lelaki Selangor menebus kekalahan semalam dengan merangkul emas dalam acara berpasukan berlima lelaki akhir Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA XIX).

Selangor berjaya mengutip 5,408 mata dan mengetepikan saingan Wilayah Persekutuan yang mengutip 5,251 mata bagi pingat perak.

Gangsa dimenangi Sabah dengan kutipan 4,746 mata.

Mohamad Firdaus Mohamad selaku ketua pasukan berkata, beliau gembira membantu Selangor memenangi emas sekaligus menebus kekecewaan sebelum ini.

“Saya gembira dan bersyukur sebab menang. Semalam seorang kawan saya cedera tetapi saya minta dia bersabar untuk teruskan saingan.

“Kami gembira untuk menang hari ini sebagai satu pasukan,” katanya.

Sementara itu, Sabah berjaya mendominasi kategori wanita dengan mengumpul 4,038 mata.

Mereka menewaskan tuan rumah Sarawak yang merangkul pingat perak dengan 3,739 mata sementara gangsa dimenangi Wilayah Persekutuan dengan 3,717 mata.

Dalam perkembangan sama Mohamad Firdaus turut mempamerkan kecemrrlangan dalam kategori All Event apabila berjaya meraih emas dengan mengumpul 5,028 mata selepas empat hari kejohanan.

Beliau menewaskan pemenang pingat perak, Mohamad Zaidi Awang dari Wilayah Persekutuan yang mengutip 4,723 mata manakala gangsa menjadi milik seorang lagi atlet Selangor, Mohd Razid Redzali.

Kategori wanita All Event dimenangi Jovinia Danduan dari Sabah dengan menewaskan dua atlet Sarawak, Sia Chew Ing dan Siong Mui Hong.

Secara keseluruhan, Selangor cemerlang dengan mengutip empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa menerusi acara bowling tempin selepas empat hari kejohanan.

EZY