Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

SOPMA XIX: Mohamad Firdaus tuai emas pertama Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

KUCHING, 1 OKT: Selangor merangkul pingat emas pertama di hari kedua Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA XIX) menerusi Mohamad Firdaus Mohamad bagi acara perseorangan boling tempin.

Berlangsung di Megalanes Sarawak, beliau mengutip 1,277 mata selepas enam pusingan menewaskan atlet di tangga kedua dari Sabah, Nathaneal Siegfred Enson dengan perbezaan 25 mata.

Tempat ketiga dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Mohd Zaidi Awang yang mengumpul 1,208.

Mohamed Firdaus yang ditemui SelangorKini berkata, beliau gembira dapat menyumbangkan pingat emas pertama buat Malaysia.

“Saya bersyukur kepada Allah dan gembira dengan kemenangan ini.

“Saya sudah berusaha sebaik mungkin dan diharapkan dapat membantu Selangor menang dalam acara lain selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Sabah mengungguli kategori perseorangan wanita menerusi Jovinia Danduan.

Beliau yang mengumpul 1,037 mata menewaskan dua atlet Sarawak, Sia Chew Ing dengan 946 mata manakala Siong Mui Hiong ketiga (944 mata).

-AA-