Categories
SUKANKINI

SOPMA XIX: Selangor bertemu Kelantan final bola sepak

OLEH AFIX REDZUAN

KUCHING, 5 OKT: Selangor menempah tiket perlawanan akhir bertemu Kelantan dalam aksi bola sepak Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA XIX) selepas menundukkan Sabah 2-1

Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi rembatan Mohamad Firdaus Baharudin.

Memasuki minit ke-30 permainan, Mohamad Firdaus sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring apabila melepasi perangkap offside sebelum tenang menyudahkan jaringan kedua buat Selangor.

Bersambung babak kedua, Sabah cuba bangkit dan berjaya merapatkan kedudukan namun kekentalan pertahanan Selangor berjaya mengekang kebangkitan mereka.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Kelantan berjaya menewaskan Pulau Pinang 5-0.

Jurulatih Selangor, Tang Siew Seng berkata, beliau terpaksa mengubah taktikal permainan pada babak kedua selepas kecederaan dialami penyerang, Mohamad Firdaus Baharudin.

“Saya terpaksa memperkuat bahagian tengah supaya pertahanan dapat bersedia lebih baik mengekang asakan lawan.

“Dengan kecederaan pemain kita terpaksa memperlahankan serangan di babak kedua,” katanya.

Menjelang aksi final, Siew Seng mengakui Kelantan merupakan pasukan baik dan beliau mempersiapkan barisan pemain terbaik esok.

“Pemain sudah bermain enam hari berturut-turut. Saya akan melihat pemain yang cergas untuk diturunkan.

“Saya berharap Selangor mampu lalukan yang terbaik esok,” katanya.

EZY