OLEH AFIX REDZUAN
KUCHING, 1 OKT: Sukan Orang Pekak Malaysia Ke-19 (SOPMA XIX) membuka tirai semalam dengan upacara perasmian meriah di Dewan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Disertai 12 buah negeri dari seluruh negara, majlis perasmian disempurnakan Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dr Abdul Rahman Ismail yang mewakili Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Adenan Satem.
Dalam edisi ke-19 kali ini, Sarawak selaku tuan rumah memperuntukkan RM2.2 juta, namun dua negeri, Perlis dan Negeri Sembilan tidak mengmbil bahagian.
Dengan tema ‘Memelihara Legasi Kita’, kontinjen Selangor seramai 59 orang terdiri daripada 38 atlet dan 21 pegawai tiba di Kuching, pada pagi Jumaat.
SOPMA adalah sukan kedua tertua di Malaysia selepas Sukan Malaysia (SUKMA) mempertandingkan empat acara iaitu bola sepak, tempin bowling, olahraga dan badminton.
Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, penganjuran SOPMA diharapkan dapat membangunkan semula prestasi atlet di peringkat kebangsan bagi mengembalikan kegemilangan di peringkat antarabangsa.
“Saya menyeru semua atlet melakukan terbaik supaya temasya kali ini dapat melahirkan lebih banyak atlet berdaya saing untuk bertanding di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kontinjen Selangor, Azlan Johar berharap altlet yang memikul cabaran kali ini dapat memberikan persembahan terbaik dan membawa pulang pingat.
“Kami tiba dengan semangat kuat, malahan Selangor berjaya menewaskan Perak dengan 2-0 dalam sukan bola sepak dan saya yakin ini permulaan baik buat semua atlet terlibat.
“Saya rasa tidak ada masalah untuk kita mencatatkan keputusan membanggakan bagi semua rakyat Selangor,” katanya.
Azlan berkata, beliau tidak berasa kekok bersama kelompok atlet yang mempunyai keistimewaan tersendiri memandangkan beliau pernah menjadi Ketua Jurulatih pasukan bola sepak orang pekak Malaysia di Taiwan, tahun lalu.
“Yang penting kesungguhan atlet sendiri. Sebagai jurulatih kita hanya boleh merangka dan memberikan jadual yang padat.
“Tetapi jika atlet tidak memberi disiplin kukuh untuk diri mereka bagi memastikan menjadi atlet yang cerdik, saya rasa mustahil untuk memberikan pencapaian membanggakan,” katanya.
-AA-